Friday, September 29, 2017

KANSER OVARI

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pantai Hospital Sungai Petani, Dr. Norhayati Bt Kasim, kanser ovari ialah ketumbuhan, barah dan pertumbuhan sel-sel di luar kawalan dan merbahaya yang berlaku pada kilang telur atau ovari wanita. Penyakit ini ialah kanser organ reproduktif yang ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan wanita.

Ditanya sama ada kanser ini boleh diwarisi, Dr. Norhayati memberitahu, kanser ini boleh diwarisi. Sekiranya ibu, kakak, adik atau nenek anda mempunyai kanser ini, seseorang itu mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser yang sama. Pun begitu, semua wanita berisiko untuk mendapat kanser ovari.

Beliau menjelaskan, tidak diketahui punca sebenar dan siapa yang akan mendapat kanser ovari. Tetapi, faktor-faktor berikut boleh menyebabkan seseorang itu berisiko tinggi :

Pertengahan umur atau yang lebih tua (>40 tahun).Mempunyai sejarah keluarga yang menderita kanser yang sama.Tidak pernah melahirkan anak.Mempunyai kanser payudara, kolorektal atau kanser rahim.

“Kebanyakan wanita tiada mengalami sebarang simptom sehinggalah ketumbuhan tersebut membesar sehingga menyebabkan kesakitan di bahagian bawah abdomen ataupun menyebabkan pengumpulan air di dalam ruang abdomen dan perut semakin membesar. Gejala lain termasuklah hilang selera makan dan berat badan semakin menyusut dengan cepatnya,” katanya.

Dr. Norhayati menjelaskan, kanser ovari ialah kanser yang sukar dikesan. Ini kerana selalunya pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal dan tiada cara pencegahan spesifik yang boleh dilakukan.

Pesakit selalunya akan mendapat gejala di atas setelah kanser membesar atau merebak. Ia boleh diketahui selepas melakukan ujian ultrabunyi (ultrasound) di bahagian pelvik dan abdomen. Kepastian sama ada ketumbuhan tersebut ialah kanser hanya akan diketahui bergantung kepada sifat ketumbuhan tersebut dan selepas melalui pembedahan dan dihantar ke makmal untuk ujian selanjutnya.

Kanser ini boleh dirawat dengan baik jika sekiranya di kesan pada peringkat awal. Setelah seseorang pesakit didiagnos dengan kanser ovari, rawatan yang diberikan bergantung kepada jenis dan tahap kanser tersebut.

“Setakat ini, tiada cara untuk mengelakkan kanser ovari, tetapi antara perkara yang boleh dilakukan untuk mencegah termasuk penggunaan pil perancang keluarga, melakukan tubal ligasi, melakukan pembedahan membuang kedua-dua belah ovari dan mengandung dan melahirkan anak.

“Kanser ovari boleh dikesan pada peringkat awal sekiranya setiap wanita menjalankan rutin pemeriksaan doktor dan melakukan ujian ultrabunyi secara berkala pada setiap tahun terutamanya pada mereka yang mempunyai faktor risiko di atas,” jelas beliau.

Mengulas sama ada pesakit kanser ovari yang berjaya dirawat akan berhadapan masalah kemandulan, Dr. Norhayati memberitahu, selalunya pesakit yang didiagnos pada peringkat awal dan masih belum berkahwin atau mempunyai anak, dan berjaya dirawat, ada antara pesakit masih boleh mengandung. Pun begitu, sekiranya pesakit lambat didiagnos, selalunya rawatan diberikan menyebabkan kemandulan terhadap pesakit

Dr. Norhaayati memberitahu, kanser ovari boleh dikesan pada peringkat awal sekiranya setiap wanita menjalankan rutin pemeriksaan doktor dan melakukan ujian ultrabunyi secara berkala pada setiap tahun terutamanya pada mereka yang mempunyai faktor risiko diatas.

“Setiap wanita perlu peka terhadap sebarang perubahan yang berlaku kepada diri mereka. Dinasihatkan supaya berjumpa dengan pakar sakit puan anda dengan segera sekiranya terdapat sebarang perubahan,” jelasnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...